Definisi Cinta? Bahagian Satu

2
COM


Definisi cinta? Bahagian Satu

Usai membelek beberapa buah buku berkenaan masalah hati. Niat mulanya sekadar ingin membaca, namun lama kelamaan tertarik dengan satu isu mengenai persoalan hati. Kenapa? Bila berbicara soal hati, topik lain yang sinonim dengan hati adalah cinta. Topik ini jugalah selalu dibicarakan dalam kalangan remaja masa kini. Dalam banyak subtopik yang dibaca, tertarik pula ingin berkongsi mengenai masalah mencari pasangan. Masalah mencari pasangan? Betul ke? Topik ini sangat mudah dan selalu dipandang enteng oleh pemuda pemudi. Sebelum bertinta panjang lebar, saya ingin mulakan coretan saya dengan basmallah dan assalamualaikum wrt.

Perlu difahami, perkara mula-mula dalam perjalanan membina Baitul Muslim adalah mencari pasangan yang ideal dan sesuai. Bagaimana? Sudah dinyatakan dalam al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 221 mengenai pemilihan pasangan yang sesuai menurut apa yang disukai Allah. Sudah buka terjamahan?

"Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba perempuan yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan lelaki-lelaki musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran" (Surah al-Baqarah, ayat 221)



Saya beranggapan saudara/i sudah membacanya. Jadi, kesimpulannya Allah TIDAK suka kepada hambaNya yang memilih pasangan berpandukan pasangan musyrik. Namun tidak pula Islam itu meninggalkan kita tanpa ada apa-apa petunjuk mengenai pemilihan pasangan. 

Hadis ini disusuli pula sebagai sandaran kepada al-Quran tadi. Hadisnya berbunyi, Dari Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW, beliau berkata :


“Seorang perempuan dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, (atau) kerana agamanya. Pilihlah yang beragama, maka kau akan beruntung, (jika tidak, semoga kau) menjadi miskin”.


Sudah terang lagi bersuluh, Islam memberikan garis panduan supaya kita tidak memilih pasangan musyrik, akan tetapi memilih pasangan melalui empat kriteria seperti sabdaan Rasulullah diatas. Cantik bukan aturan Allah untuk makhlukNya dalam memilih pasangan hidup? Supaya nanti produk hasil daripada dua individu muslim mampu menjana tenaga kepada ummah seterusnya mampu membawa Islam ke puncak yang lebih tinggi.

Sekian dahulu untuk bahagian pertama, insyaAllah ada masa nanti saya mencoret lagi. Semoga saudara/i melindungi dengan rahmat Allah selalu. Wallahualam.