Anekdot Maya

0
COM



Anekdot pertama : Cermin

Berdiri dihadapannya, pelbagai mimik muka mampu dilakukan. Ada yang buat muka senyum, ada yang buat muka sedih. Namun kita masih belum dapat membaca apa yang tersurat dan tersirat di hati orang yang berada di hadapan cermin.

Anekdot kedua : Lalang, Padi

Lalang diistilahkan sebagai orang yang tidak tetap pendirian. Manakala padi diibaratkan seperti orang yang berilmu tapi tawaduk. Tapi sering kali kita lupa, manusia tetap berubah pendirian. Perangai manusia sukar diduga. Adakala menjadi lalang itu baik, tapi mengikut resmi padi itu perlu. Bahkan ada masanya menjadi dua dalam satu sangat perlu untuk menyelamatkan diri.

Anekdot ketiga : Ruang Menunggu

Terbayang ruang menunggu terminal bas ataupun lapangan terbang. Sebenarnya ruang menunggu jika dilihat dalam konteks lebih besar adalah berkisar kepada perasaan sedih mahupun gembira. Gembira tatkala menyambut kepulangan orang tersayang. Sedih jika orang yang ditunggu tidak kembali. Alfatihah kepada mangsa tragedi kapal terbang dan bas.

Anekdot empat : Bagasi

Bagasi adalah ruang mengisi barang untuk dibawa ke sesuatu tempat. Banyak barang, berat muatan, lambat sampai ke destinasi. Dan begitu juga sebaliknya. Bagasi dianalogi sebagai bekalan. Semakin berat dosa, semakin lama di masyar, semakin lama di neraka. Jalan sangat jauh untuk sampai ke syurga. Dan begitu juga sebaliknya.

Anekdot lima : Belon Berbentuk Love

Acap kali kita melihat klip video si lelaki melamar pasangannya menggunakan belon berbentuk love, ataupun prop menggunakan belon bentuk yang sama. Dari sudut pandang positif, ini menunjukkan sebuah permulaan kepada cinta yang halal. Namun dari sudut pandang negatif, ini memandu pemuda pemudi untuk berbuat demikian. Akhirnya mereka berdua terjerumus dalam lembah zina melalui couple dan sebagainya. Bermula dari paparan pasangan melamar kekasihnya.

Anekdot enam : Sawah Yang Menghijau

Melihat sahaja padang rumput hijau yang luas, pasti berasa tenang. Ciptaan Maha Kuasa melangkaui batas keupayaan manusia. Penulis gemar berada di bendang yang menghijau, melihat padi menguning bergerak disapa angin sepoi-sepoi bahasa. Berada di bawah pokok di tengah bendang mengagumi dan menghayati kicauan burung terbang. Terungkai kisah-kisah lama.

Anekdot tujuh : Keranda

Kerada sangat sinonim dengan kematian. Perjalanan terakhir makhluk bergelar manusia di dunia. Keranda sangat unik. Bagi si mati, keranda adalah kenderaan yang membawa jenazah ke tanah perkuburan. Umpama menghantar jenazah ke alam ketiga, alam barzakh. Untuk yang masih bernyawa, keranda adalah peringatan bahawa mati akan tiba tanpa amaran. Tiada satu harta mahupun ahli keluarga yang mampu melindungi kita saat memasuki alam kematian.

Anekdot lapan : Jam Tangan

Jam tangan biasa diunjurkan sebagai menepati waktu, namun tidak banyak digambarkan sebagai kisah manis. Penulis memilih jam tangan sebagai medium kenangan manis kerana mengimbau kenangan silam saat bersama sahabat baik. Jam tangan juga simbolik kepada hadiah mahupun sesuatu yang berharga diberikan kepada orang istimewa. Penulis juga punyai hadiah yang dihadiahkan oleh seseorang yang sangat teristimewa iaitu kenangan.




Anekdot maya dalam kehidupan fana. Ada yang mengimbau kenangan manis mahupun perit pedih. Terpulang kepada individu untuk melihat dari segenap perspektif. Wallahualam,