Sebuah Pengharapan
Harapan,
Harapan itu sifat setiap insani. Harapan itu fitrah setiap yang bernyawa. Harapan itu lumrah dalam kehidupan. Harapan itu yang membawa seseorang terus bertahan, terus gagah, terus berjalan. Andai kata tiada lagi harapan, punah jiwa hancur usaha. Setiap dari kita, pasti punya harapan. Baik harapan yang kecil mahupun harapan yang besar. Cuma bezanya hanya skala harapan yang diperincikan oleh individu itu sendiri.
Harapan,
Harapan melahirkan sifat cekal dalam diri. Mehnah yang berlaku masalah yang terjadi ditempuh agar harapan dapat dicapai. Harapan itu lahir bukan sahaja dari diri yang terdesak, ia juga mungkin lahir dari diri yang menginginkan sesuatu.
Harapan,
Harapan yang cantik sentiasa dipasakkan kerana Allah. Harapan pasti berseri disulam bunga doa. Doa yang tidak jemu. Doa yang sentiasa memberi cahaya pengharapan baru kepada sang berharap. Mereka yang punyai harapan, menyerahkan segala macam perkara kepada Allah. Contohnya mengharapkan manusia. Sang pengharap akan terus menyelitkan doa kepada Rabb supaya apa yang diharapkan dimakbulkan tuhan. Doa, itulah kunci kepada harapan.
Harapan,
Tapi, harus waspada! Jangan terlalu berharap kerna mungkin esok atau lusa, harapan itu yang memakan diri sendiri. Bersederhana dalam berharapkan sesuatu, itulah yang lebih baik. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Saat dirimu terlalu berharap, Allah berikan ujian dengan harapan kamu hancur berderai umpama kaca pecah. Tika itu, kembali pada Allah. Pujuk dirimu mendekati Allah. Sungguh, Allah rindukan dirimu. Kerna itu Dia hancurkan hatimu dahulu supaya kamu tidak kecewa selepas ini kerana harapan.
Dan harapan juga, kita harus gagah. Ingatlah, sekali kecewa tidak bermakna seisi dunia kecewa. Perhebatkan pergantungan kepada Allah. Dengan izinNya, harapan pasti akan termakbul suatu hari nanti.
coretan jalanan,
rindu si pengharap / jam 2020
12 April 2015