Kasih Syurga 2



~~~~~~~~~~~
Kasih Syurga 2
~~~~~~~~~~~

Kakak Aiman datang, menyakat dari belakang. Mak Timah pula yang melatah. Berderai tawa mereka. Sama-sama geli hati melihat telatah sendiri.

"Akak, kalau akak tak kacau saya sehari boleh tak?", rungut si adik. Bukan apa, kadang-kadang rindukan gurau senda kakaknya itu. Tapi, bila dah selalu dikacau naik geram pula. Sekali lagi, si kakak buat muka. Bertambah geram Aiman.


"Aiman, betul apa mak cakap. Apa salah kenal-kenal si Syuhada tu". Usik Farah. Dia tahu sangat taste Aiman. Suka perempuan bertudung labuh, berjubah. Muslimah katakan.

Tambahan lagi, dia kenal benar Syuhada. Dulu, pernah juga Farah ke rumah Pak Su Mat kerana ingin mengulang kaji dengan kakak si Syuhada. Sama kelas sains.

Tapi, lain pula difikirkan Aiman. Jauh tersimpang dari apa yang ada di lubuk hati remaja tu. Tidak dapat diungkap oleh kata-kata. Setiap hari, dia mentajdid niatnya. Tiada istilah nikah dalam benaknya. Sebaliknya, apakah bakti yang sudah diberikan kepada Mak Timah. Walaupun, jika diukur dari segi kebendaan sudah disediakan sebaiknya kepada ibu. Tapi, tetap dia berasakan ada sesuatu yang belum mencukupi bagi membahagiakan ibunya itu. Ibu kesayangannya itu.


Allah, murni sungguh hati pemuda itu. Sungguh!

Kali ini, dia berazam mahu berbakti kepada tanah peninggalan arwah ayahnya. Tanah tidak luas, hanya sekangkang kera. Hasilnya cukup untuk mengenyangkan perut tiga beranak. Lebihan hasil, disediakan kepada sesiapa yang bertandang ke rumah mereka.

Ibunya sering menyuruh Aiman mencari kerja yang sesuai dengan taraf pendidikan. Jika bukan jurutera, pasti dia dapat berkhidmat dalam bidang pendidikan. Dan setiap kali itu jugalah Aiman mencari elah. Jawapan koman yang sentiasa meniti di bibirnya adalah "tidak puas lagi berada di rumah" ataupun "nanti saya akan cari kerja mak". Berbuih mulut ibu, tapi tetap ke bendang.

Bukan apa, Aiman risau jika ibunya pengsan sekali lagi. Kerana penyakit ibunya tidak mengenal masa. Penyakit Mak Timah sampai sekarang Aiman simpan dari pengetahuan ibunya walhal kakak kesayangannya juga.


~~~~~~~~~~~~
Bersambung
~~~~~~~~~~~~




No comments:

Post a Comment