Al-Ghuraba'

Tatkala melirik kembali sirah perjuangan Rasulullah, ada air mata bercucuran. Rindu itu berat ditatang. Semakin ditangis, semakin kuat rindu mencengkam. Ya, sungguh Rasulullah sangat menitik beratkan ummah berbanding dirinya. Hinggakan duri dan kaca hanya mainan semata. Ya Allah, sungguh dirimu terlalu mulia.

Saban hari, kita melihat kepada dunia semakin berputar. Berputar mengikut arus pemodenisasi. Semakin moden dunia, semakin hilang nilai kemanusiaan. Hilang nilai, maka hilanglah sifat ehsan dalam diri individu. Akhirnya manusia hilang pertimbangan, sanggup berbuat apa sahaja. Sehinggakan tidak tercapai dek akal fikiran.

Dalam keghairahan penguasa menguasai politik dan ekonomi, masih ada insan yang bangun dari kemelut jahiliyyah. Mereka bangun dalam bentuk kumpulan supaya mereka saling kuat menguat untuk melakukan kerja ini. Mereka terlalu sedikit hingga diibaratkan umpama permata di dalam timbunan kaca. Berkilau, bersinar dalam timbunan tajam.

Surah As-Saff, ayat 4:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"

Persoalannya, siapakah mereka?

Mereka membawa mesej Islam tatkala agama dipandang senget oleh dunia. Mereka menolak segala bentuk jahiliyyah moden hinggakan ada dituduh, diseksa, ditahan dan dibunuh. Tapi mereka tetap berpegang pada jalan yang satu. Jalan yang menghubungkan rentetan kisah perjuangan mereka. Jalan yang akhirnya bertemu titik Rabb. Bertemu redha Allah. Jalan yang destinasi akhirnya adalah mardhatilah.

Mereka adalah golongan "ghuraba" yang dipanggil "golongan asing".

“Sesungguhnya Islam datang secara ghuraba' dan akan datang kembali secara ghuraba'. Maka berbahagialah orang-orang ghuraba' itu"

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah Saw,

"Ya Rasulullah, apa yang dimaksud orang asing itu?”

Lalu Rasulullah menjawab,

“Orang yang melakukan kebaikan-kebaikan di saat orang-orang melakukan kerosakan.” (HR Muslim)

Siapakah "ghubara" dalam hadis Rasulullah? Ghuraba adalah manusia yang membawa/memperjuangkan agama Islam di akhir zaman hinggakan dunia melihat jijik kearahnya. Hinggakan ada diantara mereka yang bertemu syahid. Mereka percayakan kata-kata Allah dan RasulNya, sehinggakan menolak dunia demi akhirat. Mereka yang ikhlas berjuang kerana Allah.

Kemanakah destinasi ghuraba? Pastinya destinasi akhir adalah syurga dan matlamat akhir adalah mencapai mardhatilah. Mereka memilih untuk berada dalam satu kelompok, dimana kelompok tersebut diinjak dan disepak terajang oleh pemerintah. Namun, demi sebuah kelompok yang dinamakan Harakatul Islamiyyah Fil Maliziya, mereka menidakkan batil dan menegakkan hak di atas muka bumi.

Mampukah aku?

Persoalan timbul bilamana seseorang bermonolog dalam dirinya, "mampukah aku tergolong dalam golongan ghuraba? Sedangkan aku bergelumang dengan dosa". Jawapan datang tatkala persoalan bermain di fikiran. Jawapannya "Ya, anda mampu". Saat anda berasa untuk berubah, teruskan niat tersebut. Biar dipandang serong oleh sekeliling, jangan dipandang jijik oleh Allah. Kita memburu redha Allah, bukan termangu redha manusia. Kita tidak lemah kerana manusia, tapi semakin kuat kerana Allah.

Perlu diingatkan, ini bukanlah solusi yang mapan dan holistik yang anda cari. Tapi sekadar sisi pandangan peribadi. Diri ini hanya juga insan kerdil, membawa mesej untuk Islam. Kerana diri ini tahu, saat anda ingin berubah anda kehilangan punca untuk bermula. Saat itu, cari bulatan kegembiraan ataupun usrah. Usrah membawa kita rapat kepada Allah.

Wallahualam.

Usrah jalanan
Jam 1203
14 Januari 2015

No comments:

Post a Comment