Travelog Cinta : Kembali ke Bumi Dakwah, Tarbiyyah.




Coretan perjalanan seorang hamba ke bumi UMP, bumi dimana dia ditarbiyyah dan berdakwah hingga dibentuk menjadi seorang manusia. Bumi segala suka dan duka bersama sahabat.

-----------------------------------------------------------------

Khamis 15 Januari 2015

Jam 11.15 malam

Bas Utama Ekspress tiba. Saat itu betapa girangnya hati kerna bakal bertemu sahabat seperjuangan. Masih terfikir siapakah yang bakal aku temui? Satu demi satu wajah melirik dimata.

Bas dinaiki, tempat duduk dicari. Tempat duduk sama. Belakang, kanan bas. Bertahun berlalu, tempat duduk masih sama. Hehe.

Tika naik, mesej sampai. Katanya datang dahulu ke bazar. Dia menunggu. Sangat hebat ukhwah hingga dinihari pun sanggup bersejukan untuk menungguku. Terima kasih Aiman Haziq.

Tayar bas bergolek tapi tetap berbalas mesej dengan sahabat, adik angkat. Adik angkat pula merajuk. Uish. Aku tidak khabarkan pemergianku kerna aku tidak mahu dia berharap dapat 
bertamu dengan dia. Tapi syukur, dia faham.

Hampir sepuluh minit perjalanan, aku mula buka Quran apps. Niat dihati mahu membaca. Usai sahaja 2 ayat, kepala mulai pening. Dengan keadaan bas yang bergerak. Quran apps aku tutup. Tiba-tiba teringat seorang sahabat yang mengenaliku. Dia tahu bahawa aku selalu pening tatkala naik bas. Dia akan selalu pastikan aku rehat dari mesej bilamana naik bas. Katanya cukup sahaja dia mengetahui aku sudah berangkat. Maniskan ukhwah itu? :)

Lalu aku tertidur.

Jumaat 16 Januari 2015

Jam 5.30 pagi

Aku sampai ke bumi Pekan. Terus menuju ke kolej kediaman untuk berehat. Misi adalah untuk menyiapkan laporan Latihan Industri. Perlu! Untuk meluluskan aku mendapatkan segulung diploma. 

Bersengkang mata menyiapkan laporan. Kebiasaan, ada sahabat yang menegur jika aku terlupa atau melewatkan kerja namun sekarang tiada lagi. Jadi, kerja tertangguh.

Jam 9.30 pagi

Tiba di bumi UMP Pekan, dengan hati sangat tenang. Tika saat itu, hati berasa sungguh damai menghirup udara pagi di bumi UMP. 

Berbulan masalah mendatang, saat itu merupakan saat dimana seakan masalah terbang dibawa angin sepoi-sepoi bahasa. Aku kembali termangu, menyiapkan saki baki laporan.

Jam 12.11 tengah hari

Syukur, laporan siap. Bersedia untuk dihantar kepada pensyarah aku. Debaran terasa. Bukan kerana girang tapi terkenang betapa garang pensyarah tersebut. Langkah masuk diatur ke biliknya. Disuruh duduk lalu disuruh persembahkan apa yang sudah aku pelajari selama 5 bulan 10 hari. Sungguh, keringat mula menitik tika pensyarah menembak soalan-solan cepu emas bertubi-tubi kepadaku. Alhamdulillah, aku mampu menjawabnya.

Jam 1.23 petang

Solat jumaat di bumi barakah UMP Pekan. Kemerduan suara alunan Ustaz Hasnur tetap aku ingat walaupun berjauhan. Ya, tetap berada di sanubari. Tika khutbah dimulakan, ternampak kelibat susuk tubuh beberapa sahabat kesayangan. Ashraf Azahan, Suhaimi, Azril, Nazlan, Fikry, Mujahid dan beberapa orang lain.

Sebelum itu sempat berjumpa kakak Ain Sofea. Dia terkejut melihat kehadiranku. Kataku, hanya mahu menghantar laporan praktikal.

Kerna ukhwah, aku merasa dekat. Kerna ukhwah, aku masih kuat. Aku masih ingat modul dalam usrah yang perlu aku hadam dalam kem sebulatnya :

Lima rukun ukhwah
1. Ikhlas kerana ALLAH S.W.T.
2. Disertakan dengan iman dan taqwa.
3. Berdasarkan persaudaraan/sistem Islam.
4. Tertegak diatas nasihat yang baik.
5. Saling tolong-menolong.

Tiga Tahap ukhuwah
1. Berlapang dada
2. Berlaku adil
3. Itsar

Jam 2.15 petang

Usai solat jumaat, Azril datang kepadaku. Katanya rindu sangat. Haha. Kerana ukhwah terpisah jauh, namun hati tetap bersatu. Selepas Azril, Mujahid pula. Banyak perkara dibincangkan dengan dia. Orang yang paling arif tentang selok-belok UMP Pekan.

Jam 4.07 petang

Selesaikan hutang terakhir di UMP Pekan. Yuran semester terakhir. Syukur, akhirnya bergelar graduan UMP. Hanya padaMu aku panjatkan syukur.

Jam 8.45 malam

Bertandang ke kedai makan Pok Dek(Makcik Mie). Alhamdulillah, Makcik Mie masih ingat namaku. Dia tidak lupakan aku. Aku lihat sekarang kedainya banyak perubahan. Pekerja juga bertambah. Banyak perkara dibualkan berkisar pelajaran. Aku anggap makcik seperti ibuku di UMP.

Sabtu 17 Januari 2015

Jam 11.00 pagi

Ke kedai abang burger rm1.00 seperti kebiasaan. Dulu, acap kali kesana untuk merasa kesedapan burger. Berbanding ke MCDonalds. Sokong ekonomi orang Islam!

Jam 9.00 malam

Bersama sahabat sebilik, Aiman dan Mio Hazim ke KFC untuk meraikan kedatangan aku ke UMP. Tika itu, mama Atielan Talib bertanya bila mahu bertandang ke rumahnya. Aku tidak mampu beri jawapan kerna tiada siapa mahu menemaniku ke Lipis. Pesan mama, kiranya jika aku jadi pergi, khabarkan kepadanya awal. Aku tahu mama mahu sediakan sesuatu kepadaku. Tapi aku menolak dengan baik.

Jam 11.32 tengah malam

Singgah sebentar ke kedai Makcik Mie untuk berbual. Panjang lebar kisah bercerita. Dari sejarah hidup makcik hingga bab pelajaran. Anak saudara Makcik Mie juga tidak terkecuali. Kakak hanya mendengar. Aku suka terangkan info mengenai pemilihan universiti kepada Kakak dihadapan Makcik Mie. Kataku, pilih sebijaknya kerna itu menentukan masa hadapan kita.

Lama berborak hingga ke pukul 1 pagi. Segala perkongsian Makcik Mie ceritakan kepadaku. Syukur, Makcik Mie tidak kekok denganku. Akhirnya aku kembali ke bilik. Saat itu aku teringatkan sahabat yang jauh di sana. Apa khabar dia? Bertemu di UMP namun dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan.

Ahad 18 Januari 2015

Jam 11.15 pagi

Usai makan, aku menolong Aiman dan Abg Shakir(naqib) memunggah barang ke keretanya. Mahasiswa sudah menamatkan pengajian di UMP. Banyak barang perlu dibawa balik.

Jam 4.15 petang

Aku ke kedai Makcik Mie mahu khabarkan bahawa petang tersebut aku mahu pulang ke Kuantan. Mungkin akan bertemu lagi.

Jam 6.15 petang

Tayar bergerak ke Kuantan. Sempat aku bertemu Makcik Mie dan anak saudaranya untuk kali terakhir. Halalkan makan minumku makcik. Diriku seperti anak baginya.

Jam 9.30 malam

Tiba di rumah keluarga mertua Maksu aku. Rumah yang wajib aku pergi/lawat jika aku balik ke kampung adalah rumah mertua Maksu aku. Memang aku tiada pertalian darah namun ikatan kekeluargaan hinggakan aku tidak berasa janggal dalan keluarga ini. Nasi ayam buatan tangan Tok Ma sangat sedap. Masakan orang kelantan + orang pahang. Hehe.

Jam 11.15 malam

Pulang ke teratak datuk. Syukur melihat datuk masih gagah bawa diri. Sangat bersyukur melihat keadaan datuk yang masih cergas dan cerdas melakukan kerja kampung.

Isnin 19 Januari 2015

Jam 8.15 pagi

Ke kebun bersama datuk. Masa untuk.tarbiyah jasadiyyah. Datuk minta tolong untuk mengait dan meraut daun pisang. Sungguh, kerja kampung sangat menyeronokkan. Mampu mengisi masa lapangku. Sempat juga berpeluh. Total pagi itu daun pisang yang sempat dikumpul adalah 20kg. Amat sedikit berbanding sebelumnya.

Saat itu terkenang sahabat yang selalu berpesan kepadaku. Tidak lekang nasihat dari mulutnya. Nasihat yang sangat berguna.

Jam 11.50 tengah hari

Aku mengikut maksu ke kedai komputer kerna mahu membaiki printer. Namun banyak kedai yang tidak menyediakan perkhidmatan membaiki printer HP.

Jam 11.00 malam

Aku bersedia menaiki bas pulang ke kampung halaman. Tarbiyah di bumi barakah pahang akhir sampai ke penghujungnya. Kebiasaan aku akan khabarkan kepada seorang sahabat jika aku mahu bertolak pulang tapi kali ini mama menggantikan tempatnya. Mama pesan bulan 5 nanti aku mesti datang untuk majlis perkahwinan angah. Dengaz izin Allah, along akan sampai.

Aku juga cuba melaksanakan pernintaan mama. InsyaAllah, nanti along cuba laksanakan.

Jam 11.10 malam

Bas meluncur dalam kegelapan malam meninggalkan terminal kuantan. Meninggalkan bumi Pahang.

-----------------------------------------------------------------



Travelog cinta perjalanan hamba ke bumi dakwah dan tarbiyyah. Tiada perkataan mampu diucap sewaktu pengembaraan ini. Rindu bertamu silih berganti. UMP Pekan meninggalkan kenangan, UMP Gambang juga terselit segenggam memori. Namun, harus aku bergerak. Bergerak mencari redha Allah. Bergerak kepada lebih baik.

Semoga Allah menjaga kamu, sahabat. Doa sentiasa bertitip dalam setiap solatku. Tidak lekang diingatan. Setiap hari dalam fikiran. Hanya Allah yang tahu.

Dengan izin Allah...

No comments:

Post a Comment